Monday 14 November 2016

Alisa (Last Part)

PART - 6

Lima bulan telah berlalu, Alisa dan Faiz sudah menjalinkan hubungan percintaan. Pada mulanya cinta Alisa di tolak oleh Faiz dan diterima baik setelah mendapat pelbagai bantuan dari Alisa. Namun niat sebenar Faiz masih lagi tidak pupus. Alisa mengambil serius dengan percintaan mereka tetapi lain pula bagi Faiz. Dia hanya menggunakan Alisa untuk lulus dalam segala ujian. Alisa pula sentiasa membantu Faiz meniru dalam peperiksaan sehingga Faiz mendapat anugerah pelajar pintar di dalam sekolah.

Hari minggu, mereka selalu mengulang kaji mata pelajaran bersama-sama di sebuah restoran yang tidak asing bagi orang ramai pada masa kini, Mcdonald. Di atas meja tersedia segala kalkulator dan buku mata pelajaran bersama sebatang kon aiskrim vanilla daripada Mcdonald. Aiskrim tersebut dibeli oleh Faiz sebagai penghargaan kepada Alisa setelah tamat waktu mengulang kaji.

"Awak selalu tiru saya masa exam. Buat apa nak ulang kaji lagi. Buang masa awak je."

"Saya tak boleh nak harapkan awak je. Saya pun kena ulang kaji sekali. Kalau saya tak tahu baru lah saya rujuk awak. Saya tak tiru tau. Saya merujuk je."

Itu lah ayat yang di ulang-ulang oleh Faiz untuk mengaburi mata Alisa. Faiz membuat sesi mengulang kaji bertujuan mahu Alisa mengulang kaji mata pelajaran kelasnya sahaja. Ini lebih memudahkan Faiz untuk meminta jawapan di dewan peperiksaan kerana Alisa mampu mengingati segala formula dan teknik menjawab soalan dengan hanya sekali sesi pembelajaran.

Meja yang digunakan oleh Alisa dan Faiz adalah selang beberapa meja dari pintu kaca restoran tersebut. Di pintu kaca itu, kelihatan tiga kawanan wanita yang dikenali oleh Faiz kerana mereka juga adalah murid sekolah yang sama dengan Faiz dan Alisa. Sekawanan wanita itu hanya menjeling tajam ke arah Faiz dan Alisa. Mereka berbisik antara satu sama lain. Perbuatan itu disedari oleh Faiz.

"Alisa. Awak tengok tu. Dia orang gosip pasal kita ke?"

"Hmm.. Mungkin lah kot. Tapi kenapa? Apa yang kita buat?" terus menoleh ke arah pintu kaca tersebut.

"Jealous lah tu. Dia tengok awak comel sangat." Sambil menenung anak mata Alisa di iringi senyuman manis.

"Eh! Tak... Tak adalah... Sebab lain kot... Biarlah dia orang. Kita tak ganggu dia orang pun... kan?" sambil menundukkan wajahnya yang merah menyala dan menenung buku tulis di atas meja.

Sengaja memuji Alisa sebegitu supaya hubungan percintaan mereka lebih dipercayai oleh Alisa.

                                                                    ***

Dua minggu selepas itu, Faiz membawa Alisa berjumpa dengan ibunya. Alisa berpakaian kemas dan cantik. Pakaiannya yang bertemakan hitam dan merah itu sangat menusuk mata Faiz. 

'Ini ke awek aku? Nasib baik comel dan berguna.' desis hati Faiz sambil tersenyum menatap wajah Alisa di hadapan pintu rumahnya.

"Awak! Hello! Awak nampak tak saya dekat sini. Jangan lah tersengeh-sengeh je. Malu kalau orang lain nampak saya pakai macam ni!"

"Iya... Sabarlah. Bukak lah kasut tu dulu."

"Mak awak tak garang kan?"

"Tak... kenapa?

"Alaaa... takut!"

"Takut ke malu?"

"Hmm.. malu tu pun ada jugak lah"

"Tak payah malu la. Mak saya okay. Lagi-lagi tengok awak comel macam ni. Kalau kita dah habis sekolah, saya rasa mak saya nak hantar rombongan merisik je terus... hehe." 

"Ish! Dah lah! Bawa saya masuk! Saya malu!" Faiz mengiringi Alisa masuk ke rumah. Pipi Alisa tidak berubah warna merahnya setelah Faiz berikan kata-kata hikmat cintanya itu.

Faiz membawa Alisa ke dapur di mana ibunya sudah sedia duduk di sebuah meja makan.  Apabila Faiz melangkah kakinya masuk ke dapur kelihatan ibunya yang sedang duduk dan tersenyum melihat anak lelakinya itu.

"Mak... Faiz kenalkan, ini Alisa. Dia Ehem... teman wanita Faiz." kata-kata Faiz tidak dihiraukan oleh ibunya. Anak mata ibunya itu menjeling dengan penuh teliti dan tajam ke arah Alisa.

"Mak... Mak?? Ada apa-apa ke mak?" tanya Faiz selepas menyedari jelingan tajam ibunya itu.

"Hah? tak ada apa... Cuma teman wanita kamu ni teramat lah comel. Susah mak nak putuskan pandangan mak dekat dia." Sambil tersenyum melihat anaknya itu.

Pada mulanya Faiz sudah mula risau pada pandangan tajam ibunya. Alisa juga sudah menundukkan wajahnya ke bawah kerana ketakutan. Rupanya ibu Faiz menerima baik akan Alisa.

"Siapa nama dia Faiz? Alisa?"

"Ye mak."

"Ohh.. Jemputlah duduk Alisa. Duduk Faiz... Mak angkat makanan dekat dapur dulu ye." Sambil tersenyum gembira dan beredar untuk mengambil makanan.

Faiz dan Alisa duduk di kerusi meja makan. Wajah Alisa di tatap oleh Faiz.

"Tengok... Mak saya okay kan?" Sambil melontarkan senyuman sinis. Alisa hanya menundukkan wajahnya dengan wajah yang tidak gembira. Seperti ada sesuatu yang mengganggu fikiranya.

"Alisa? Kenapa Alisa?" Teguran Faiz itu tidak dihiraukan oleh Alisa. Selang beberapa saat Alisa memandang ke wajah Faiz dengan mimik muka yang tidak enak.

"Faiz... Saya minta maaf... Ada rahsia yang saya sorok dari awak." Sambil menenung anak mata Faiz.

"Apa... Apa dia Alisa?" 

"To... Tolong jangan beritahu mak awak. Saya betul-betul minta maaf." Mata Alisa berkaca. Faiz pula memerhati ibunya yang tengah menggaul makanan di dapur. Jauh dari tempat meja makanan tersebut.

"Apa rahsia yang awak sorok kan?" Faiz kegelisahan. Meratap wajah Alisa yang murung itu dan matanya berkaca seperti mahu menangis itu membuatkan Faiz tidak senang.

"Saya... Saya... Sebenarnya" Suara yang sebak dan teragap-agap sudah mula keluar dari mulut Alisa.

"Kenapa Alisa? Tolong jangan menangis dekat sini."

"Sebenarnya..." Air mata mula mengalir di pipi Alisa. Serentak itu Faiz tiba-tiba menjadi sebak melihat sikap Alisa sebegitu.

"Saya.... Sebenarnya, dari tadi tahan nak pergi tandas. Nak cakap, tapi saya malu."

"Awa... Awakk apa????"

"Faiz... Izinkan saya pergi tandas. Saya dah tak tahan sangat ni." sambil mengalirkan air mata.

"Cakap lah awal-awal bodoh! Yang kau menangis kenapa!" Bentak Faiz setelah menyedari perasaanya ditipu oleh Alisa.

"Jangan lah marah. Saya malu nak cakap. Macam mana tak nangis. Dari tadi asik tahan."

"Eeiii! Nasib baik kau awek aku. Kalau orang lain tadi dah lunyai muka kau! Tandas dekat dapur! Pergi cepat. Aduhaii... IQ tinggi! Tapi bengap!"

"Terima Kasih Faiz. Saya ke tandas dulu." Laju Alisa bangun dari kerusi itu dan berlari ke dapur mencari tandas.

                                                                         ***

Suasana sepi di meja makan. Mereka bertiga tidak mengeluarkan sepatah kata. Alisa yang mulutnya seperti burung murai menjadi sepi sambil menyuapkan makanan ke mulutnya menggunakan sudu. Ibu Faiz pula tidak menghiraukan keadaan. Hanya memegang telefon dan melayari Facebook untuk menghilangkan bosan.

"Ehem... Sedap tak makanan ni Alisa?" Topik yang rawak dimulakan oleh Faiz.

"Ye. Sedap."

"Kan? Mak saya yang masak ni. Haha"

"Mak masak mesti lah sedap." Sampuk ibunya.

Perbulaan mereka hanya di situ. Suasana menjadi sepi semula kerana tiada topik yang mahu dibicarakan. Faiz juga merasa agak kecewa kerana ibunya tidak begitu sporting. Hanya mendiamkan diri dan membelek telefon pintarnya.

Selang beberapa minit, Alisa dan Faiz sudah selesai menghabiskan makanan di piring makanan mereka. Oleh kerana ditemani suasana yang sepi dan ibu Faiz yang mendiamkan diri, Faiz memberi keizinan kepada Alisa untuk beredar dengan lebih awal.

"Mak. Alisa dah nak kena balik. Dia ada hal."

"Ohh.. balik dah ye? Naik apa? Motosikal ke Kereta?"

"Jalan kaki je mak."

"Ohh... Hati-hati berjalan ye Alisa. Bahaya berjalan seorang diri." Sambil melontarkan senyuman manis pada Alisa.

"Okay makcik. Terima Kasih ye." Ibu Faiz hanya tersenyum hingga kelibat mereka hilang dari pandanganya dan ibu Faiz kembali membelek telefon pintar.

"Maaflah Alisa. Mungking mood mak saya tak berapa okay sekarang. Lain kali awak boleh jumpa dia lagi."

"Eh. Tak apa. Saya tak kisah pun. Saya balik dulu tau. Jumpa waktu balik sekolah esok."

"Okay. Bye Sayang."

"Heee... Bye."

Faiz masuk ke dalam rumah kembali setelah melihat Alisa beredar dan hilang dari anak matanya. Faiz ke dapur semula dan dia terlihat ibunya sedang makan di atas meja.

'Lahh... Ingatkan makanan tadi dah habis. Ada lagi rupanya.' Desis hati Faiz. Diendahkan ibunya, Faiz terus menaiki tangga menuju ke bilik.

                                                                        ***

"Saya betul-betul minta maaf pasal semalam."

"Haih... Berapa kali saya nak ulang Faiz. Tak apa."

"Tak ada lah. Saya tak tahu yang mak saya tak ada mood semalam." Sambil melihat rumahnya yang berada beberapa meter dari tempat mereka berjalan.

"Okay lah Alisa. Kita jumpa esok ye. Petang ni saya tak boleh keluar sebab mak saya minta temankan dia berjalan."

"Okay. Jumpa esok Sayang... heee"

"Ye sayang...hee... Hee apa!" Bentak Faiz secara tiba-tiba.

"Tak... Rasa geli bila cakap Sayang... hahaha" Alisa ketawa berdekah di hadapan rumah Faiz. Faiz juga turut tersenyum melihat Alisa.

"Okay. See you tomorrow." Lambaian Faiz di balas oleh Alisa sambil menghilangkan diri dari pandangan masing-masing.

Apabila Faiz masuk ke dalam rumah, dia dapati ibunya sudah lengkap berpakaian untuk keluar ke rumah sambil menggalas sebuah beg tangan.

"Eh. Mak. Nak gerak sekarang ke?"

"Ye. Cuma tunggu Faiz balik je ni. Jom lah."

"Alamak! Faiz tak siap lagi. Tunggu jap Faiz tukar baju."

"Tak payah. Pakai je baju sekolah."

"Okay." Faiz mula merasa sangat ganjil. Ibunya seperti tergesa-gesa.

Faiz masuk di dalam sebuah kereta Triton dan dipandu oleh ibunya ke satu destinasi yang tidak diketahui oleh Faiz. Selang tiga puluh minit, Faiz dapati ibunya sedang menghala ke arah hospital.

"Eh? Kita pergi hospital ke mak?"

"Ye."

"Kenapa?"

"Boleh tak Faiz jangan banyak tanya! Ikut je la!" Tengking ibunya itu membuatkan Faiz terdiam. Faiz langsung tidak tahu apa yang ibunya mahu buat di hospital.

Kereta Triton berwarna putih berpusing-pusing di kawasan hospital untuk mencari parking. Apabila parking dijumpai, Triton itu pantas masuk ke lorong parking tersebut dan ibu Faiz segera keluar dari kereta di ikuti oleh Faiz. Mereka berdua berjalan ke pintu utama dan ibunya terus ke kaunter dan memberitahu dia mempunyai temujanji bersama Dr. Kamal.

"Puan ada bawa pesakit?"

"Ya.."

Pantas ibunya menarik tangan Faiz dan di heret masuk ke dalam bilik doktor.

"Eh? Mak? Apa ni mak?" Wajah Faiz merasa sangat cemas. Dia tidak tahu apa yang terjadi.

Tiba sahaja di bilik tersebut, Faiz telah disuntik oleh seorang doktor lelaki yang dikenali sebagai Dr. Kamal. Faiz tidak menyedarkan diri dan jatuh di atas lantai bilik doktor tersebut.

                                                                          ***

Faiz membuka matanya perlahan. Pandanganya kabur. Faiz cuba juga membuka jelas matanya. Dia dapati dirinya sudah berada di atas kerusi. Di sebelahnya adalah meja yang di duduki oleh doktor tersebut. Di hadapan meja itu kelihatan ibunya sedang duduk menghadap Dr. Kamal. Matanya liar sekeliling dan dia dapati dirinya sudah berpakaian pesakit berwarna hijau. Faiz mendengar jelas perbualan ibunya bersama Dr. Kamal.

"Betul apa yang puan sangkakan. Faiz menghadapi kerosakan di sistem otaknya." Wajah doktor itu sangat serius memandang tepat ke arah ibu Faiz.

"Apa... Apa maksud doktor?" Suara yang serak dan perlahan dari Faiz menyampuk perbualan ibunya dan Dr. Kamal.

"Faiz! Kamu dah sedar?" Jerit ibunya.

"Baiklah Faiz. Beritahu saya. Siapa orang yang paling awak sayang?" Doktor itu mula menyoal selidik kepada Faiz.

"Sayang? Sudah semestinya keluarga saya." Perlahan dan serak suara Faiz memberitahu.

"Selain itu? Kawan-kawan? Teman Wanita?"

"Teman Wanita? Alisa... Saya sayang Alisa."

"Faaizzz." Ibunya sudah mengeluarkan air mata sambil menatap wajah Faiz yang kusut itu.

"Kenapa mak? Kenapa dengan Alisa?" Kerana terkejut mendengar ibunya menangis, Faiz cuba menyedarkan diri sepenuhnya sambil melihat keadaan sekeliling.

Doktor tersebut menarik nafas yang panjang dan dihembuskanya laju.

"Baiklah Faiz. Macam mana kalau saya kata,..... Alisa tu tak pernah wujud di dunia ni?" Ayat terpaksa itu di tuturkan oleh Dr. Kamal dengan wajah yang hampa.

"Apa... Apa maksud doktor? Saya tak faham... Serius saya tak faham." Dahi Faiz berkerut. Dia memandang fokus ke wajah Dr. Kamal.

"Awak mempunyai kerosakan yang kecil di sistem otak awak. Ini telah membuatkan awak tidak sedar yang awak sedang menggunakan imaginasi dan menghasilkan satu gambaran seseorang secara rawak."

"Tapi... Tapi... Hari-hari saya jumpa Alisa! Saya bercakap dengan dia! Tak mungkin itu semua hanya imaginasi!"

"Tidak Faiz. Alisa adalah imaginasi awak. Sudah tentu awak boleh bertutur denganya pada bila-bila masa awak nak. Cuma kerosakan sistem tersebut membuatkan awak tidak mampu untuk menyedari situasi imaginasi dan juga realiti"

"Mengarut! Doktor mengarut! Tak akan semua ni berlaku!" Faiz bangun dari tempat duduknya. Faiz memandang tepat ke arah ibunya yang sedang mengalirkan air mata dengan wajah yang bengis."

"Faiz tahu ini semua rancangan mak! Mak tak suka Alisa kan! Dari hari tu lagi Faiz perasan!"

"Tak! Ini reality-nya Faiz! Alisa memang tak wujud."

"Maaaakkkk!!! Kalau tak suka cakap je lah tak suka! Faiz tak ada masalah! Jangan buat Faiz macam ni!" bentak Faiz kuat melepaskan rasa geram.

Suasana menjadi kelam kabut. Ibunya menangis tidak henti-henti. Doktor cuba menenangkan Faiz yang tidak puas hati dengan teori yang diteranginya.

"Faiz...."

Suara lembut yang tidak asing bagi Faiz itu telah membuatkan Faiz terdiam seketika. Secara perlahan Faiz menoleh ke belakang dan dia dapati Alisa sedang berdiri tegak sambil mengalirkan air mata.

"Eh.... Alisa... Tengok! Doktor! Mak! Ni Alisa. Dia ada depan mata kita! Dia bukan imaginasi. Doktor dengan mak nampak tak? hah? Jawablah orang tanya! Nampak ke tak!" bentak Faiz kuat.

"Eh? Saya... Saya tak wujud... Ke...?" Tanya Alisa dengan nada yang sebak.

"Alisa... Betul ke Alisa?" Faiz memadang wajah Alisa dengan penuh sadis dan tidak mempercayai apa yang telah terbongkar di telinganya.

"Maaf Faiz... Inilah rahsia yang paling besar saya mahu beritahu awak dari dulu lagi. Tapi saya tak sanggup." Wajah Alisa ditundukkan ke bawah sambil pipi dibasahi air mata.

"Alisa..... Apa semua ni Alisa? Kenapa...." Sambil mengalirkan air mata memandang tepat ke arah Alisa berdiri.

Alisa berjalan perlahan ke hadapan mendekati ibu Faiz. Kelihatan tubuh badan Alisa menembusi tubuh badan ibu Faiz dan itu adalah bukti yang sangat kukuh daripada teori Dr. Kamal. Dalam masa yang sama Faiz merasa sakit pada belakang kepalanya dan dia teringat sesuatu yang tidak pasti.

Faiz teringat waktu pulang dari sekolah. Dia sedang bercakap seorang diri sambil memegang kon aiskrim. Teringat juga waktu dirinya ditegur oleh penjaga dewan peperiksaan kerana menengking Alisa. Dia melihat hanya dirinya seorang diri. Penjaga dewan peperiksaan tersebut menegurnya kerana Faiz membentak seorang diri dan tidak kelihatan sesiapa di sebelahnya.

Tidak lupa juga waktu di Mcdonald. Sebenarnya ramai yang sedang memerhatikan Faiz. Dia bercakap seorang diri sambil menulis jawapan kepada soalan di buku tulisnya sambil di perhati oleh tiga kawanan wanita di pintu kaca Mcdonal tersebut. Kawanan wanita itu bergosip tentang dirinya kerana Faiz adalah orang gila paling bijak di dalam sekolah.

Segala jawapan yang ditulis di dalam kertas soalan peperiksaan itu adalah jawapan Faiz sendiri. Faiz adalah seorang pelajar  ber- IQ tinggi. Imaginasinya menolong dirinya mendapatkan jawapan kepada soalan tersebut.

Perkara yang paling Faiz tidak mampu lupa adalah pada waktu dia memperkenalkan Alisa pada ibunya di rumah. Waktu Faiz memperkenalkan Alisa, ibunya tidak melihat sesiapa di situ. Hanya Faiz seorang sahaja bercakap seorang diri. Ibunya takut akan situasi itu dan cuba berlakon di hadapan Faiz seolah-olah Alisa benar wujud di situ. Makanan yang diberi pada Alisa kelihatan habis di mata Faiz namun tidak di mata ibunya. Apabila Faiz membawa Alisa beredar, ibunya menjamah makanan tersebut.

"Kenapa Alisa...." Wajah Faiz menjadi merah. Matanya naik bengkak. Meneran sebak di dalam dada yang terasa amat sakit. Rasa cinta dan sayang kepada Alisa tidak mungkin akan hilang setelah sekian lama Faiz mengenali Alisa.

"Baiklah Faiz. Awak sudah tidak sedarkan diri selama tiga hari. Hari ini adalah hari pembedahan otak awak. Apa yang awak alami akan beransur pulih." Sampuk Dr. Kamal yang tidak sanggup melihat Faiz berkata-kata seorang diri.

"Tak! Tolong jangan bedah saya! Nanti Alisa hilang!"

"Faiz! Mak taknak dengar orang cakap Faiz gila!" Bentak ibunya pada Faiz.

"Faiz sanggup jadi gila dari kehilangan Alisa!"

"Faiz... Faiz kuat kan..? Jangan lah takut... Tak apa sayang.... Walaupun saya dah tak ada di mata awak, saya akan tetap ada di sisi awak sampai....sampai bila-bila." Tutur lembut Alisa sambil teresak-esak di iringi oleh senyuman manja.

"Alisa! Jangan cakap macam tu Alisa... Aku sayang kau..." Teriak Faiz sambil berlari memeluk Alisa.

"Alisaaa! Alisaaa!!" Nama Alisa tidak putus di mulut Faiz. Dr. Kamal memegang telefon bimbitnya dan memanggil sekumpulan juru rawat lelaki untuk membawa Faiz ke dalam bilik pembedahan.

"Walau macam mana pun, Saya tetap kena pergi. Ini untuk kebaikan awak Faiz. Saya sememangnya tidak wujud. Awak perlu jadi orang yang normal. Maaf... Saya tak beritahu awak pasal ni. Sebab... Dari mula saya muncul di imaginasi awak, saya sememangnya sudah cintakan awak. Saya tahu... cara untuk selamatkan awak adalah dengan memberitahu perkara yang sebenar. Tapi saya tak boleh. Sebab saya nak kenal awak lebih lama. Setiap kali saya nak bagitahu rahsia ini, saya akan berfikir dua kali. Tapi hari ini, saya tak mampu untuk sorok apa-apa lagi." tutur Alisa sambil tersenyum dengan aliran air mata jernihnya.

Sekumpulan juru rawat lelaki memasuki bilik tersebut untuk membawa Faiz ke bilik pembedahan. Faiz menjadi buas. Dia menhayunkan tumbukan dan sepakan kakinya berkali-kali.

"Jangan sentuh aku! Aku nak setia dengan Alisa! Aku tak peduli kalau orang kata aku gila sekali pun.!" teriakan Faiz itu tidak di endahkan. Jururawat itu cuba sedaya upaya menenangkan Faiz.

"Awak... Tak apa awak... Saya tak akan pergi. Saya tetap ada bersama awak. Cuma awak yang tak akan nampak saya lagi. Tak apa. Saya teman awak sampai dalam bilik pembedahan. Tolong tenangkan jiwa awak. Saya taknak tengok awak macam ni di sebabkan saya." Pujukan Alisa itu diiringi belaian kasih sayang dari telapak tangan kananya ke pipi kiri Faiz.

Faiz menjadi tenang buat seketika. Kerja jururawat menjadi lebih mudah.

"Betul awak tak tinggalkan saya Alisa...?"

"Iya... Walaupun awak tak nampak saya lagi, saya tetap berada di dalam ni." Alisa menghalakan jari telunjuknya ke dada Faiz. Kata-kata Alisa itu telah membuatkan Faiz menjadi lebih sebak. Segala hingus dan air liur Faiz meleleh oleh kerana menahan kesakitan di dalam hatinya.

Faiz terduduk dan sujud di lantai bilik tersebut. Genggaman tanganya kuat sambil berteriak teresak-resak menangis. Dia tahu, dia sudah tiada pilihan yang lain. Dia juga tahu akan harapan palsu yang baru sahaja Alisa berikan padanya.

Dengan rela hati, Faiz berdiri dan jururawat membimbingnya ke bilik pembedahan.

"Nanti." Suara Faiz yang serak sudah kehilangan itu membuatkan perjalananya bersama sekumpulan jururawat tersebut terhenti.

"Alisa. Teman saya untuk kali yang terakhir." Sambil memandang tepat ke arah Alisa berdiri. Alisa mengangguk dan berjalan bersama Faiz sehingga tiba di bilik pembedahan.

Faiz dibaringkan di sebuah katil di luar bilik pembedahan dan di sorong masuk ke dalam di mana bembedahan akan dimulakan beberapa minit lagi. Dr. Kamal juga sudah bersedia dengan sarung tangan dan topeng mulut putihnya. Faiz pula disuntik ubat tidur. Alisa berada rapat di sebelah Faiz sambil membelai kepala Faiz.

"Janji dengan saya Alisa. Awak tak akan tinggalkan saya. Saya perlukan bimbingan awak." Perlahan Faiz bertutur sambil di belai oleh Alisa.

"Sudah semestinya Faiz. Awak lupa ke... Saya kan Ultraman." Kata-kata itu mampu membuatkan Faiz tersenyum sementara pandanganya makin kabur dan kelibat Alisa menghilang. Suasana menjadi gelap dan sepi. Hanya mendengar suara Alisa di dalam kegelapan yang sepi itu. 'Saya sentiasa berada di sisi awak'. Itu lah ayat terakhir yang Faiz dengar dari Alisa.

                                                                          ***

Faiz membuka matanya dan dia dapati dirinya sudah terlentang di wad hospital. Dia cuba untuk duduk dari baringanya. Kepalanya merasa sangat sakit. Faiz cuba sekali lagi membangunkan diri. Berjaya juga Faiz duduk dan melihat cermin di hadapan katil wadnya. Kelihatan rambutnya hilang meningglakan kulit kepala yang berbekas jahitan akibat dari pembedahan. Sejurus itu Faiz mengalirkan air mata. Cintanya pada Alisa masih kekal di hati akan tetapi dia sudah menerima hakikat yang sebenar.

Tiga minggu selepas itu Faiz sudah keluar dari Hospital. Doktor mengesahkan Faiz sudah pulih namun emosi Faiz terganggu. Semenjak dari itu Faiz mengalami kemurungan yang berpanjangan.

Balik sahaja ke rumah, Faiz terus masuk ke dalam bilik dan tidak menghiraukan ibunya yang bertanya banyak soalan kepada dirinya untuk menceriakan keadaan.

Keesokan harinya, Faiz pergi ke sekolah seperti biasa. Pembelajaran Faiz terganggu kerana Faiz tidak fokus akibat kemurungan. Waktu pulang sekolah, Faiz berjalan berseorangan. Perasaanya sangat kosong. Kadang kala, Faiz menangis sambil berjalan kaki menuju ke rumah. Perasaan rindu yang kuat terhadap Alisa yang selalu memenuhi harinya apabila pulang dari sekolah.

Dua minggu selepas itu Faiz beransur pulih. Keadaanya kembali ceria dan dia menjadi pelajar yang normal seperti pelajar lain. Namun, Alisa masih tetap di hatinya. Dia tidak akan lupa pada Alisa sampai bila-bila.

Pagi itu Faiz pergi ke sekolah seperti biasa. Senyuman yang ceria dan gembira terukir di bibir Faiz. Ibunya juga gembira melihat Faiz yang sudah pulih dan tersenyum seperti pelajar lain. Tiba di sekolah, Faiz masuk ke dalam kelas dan duduk di meja belajarnya. Selang beberapa minit, guru kelas Faiz memasuki kelas dan semua pelajar bangun untuk memberi salam.

"Baiklah kelas. Hari ini kita ada pelajar baru. Silakan masuk dan perkenalkan diri awak." Sambil melambai perlahan seseorang di luar kelas untuk masuk ke dalam.

Kelihatan pelajar baru itu merupakan seorang wanita yang comel sedang berjalan masuk ke dalam dengan perasaan yang malu-malu kucing.

"Asalamualaikum, Saya pelajar baru. Makanan kegemaran saya adalah Aiskrim. Saya bercita-cita nak jadi Ultraman dan nama saya adalah......
......
......
.....
......
ALISA!"






Credit


  • Author by Rahmat
  • Dunia R Facebook Page
Special Thanks
  • Illustration by Nisrina Ahmad (TikTokXII)
  • Asistant : Epi, Fadhlul, Nyx

THANK YOU!

No comments:

Post a Comment

Tags

Video of the Day